DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) diiringi Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad (kiri) dan Presiden Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) Mashita Abdul Rahim (tengah) melawat gerai jualan Aspirasi Asnaf sempena ulang tahun ke-5 PWIP di Hotel One World, Petaling Jaya pada 28 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Persatuan Wanita Prihatin tawar bimbingan, bantu ibu tunggal berniaga

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA, 1 MAC: Program Aspirasi Asnaf 2023 sebagai platform terbaik membantu meningkatkan ekonomi serta mengeluarkan golongan asnaf daripada kemiskinan.

Presiden Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) berkata acara yang julung kali dianjurkan sempena ulang tahun kelima pertubuhan itu membantu golongan asnaf khususnya ibu tunggal menceburi bidang perniagaan.

“Program ini merupakan anjakan paradigma yang menyediakan platform bantu asnaf berpotensi bangunkan kapasiti mereka dalam bidang diceburi.

“Kita yakin Aspirasi Asnaf akan menjadi tanda aras kejayaan ummah memandangkan ia dilaksana dengan kerjasama strategik tokoh perniagaan dan tokoh berpengaruh yang telah buktikan kejayaan mereka,” kata Mashita Abdul Rahim.

Beliau bercakap pada sidang media sempena majlis pelancaran Aspirasi Asnaf 2023 di Hotel One World di sini, semalam yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Turut hadir Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Mashita berkata program yang mendapat sokongan agensi kerajaan dan badan korporat itu memberi peluang kepada golongan sasar yang bercita-cita tinggi, ingin berdikari dan mengubah kehidupan.

“Seramai tiga ibu tunggal terpilih menyertai program ini yang mana kita sediakan bimbingan dari segi pemasaran, pengurusan akaun dan bantuan kewangan bagi bantu mereka kembangkan perniagaan.

“Kita akan pantau dan bimbing mereka antara tiga hingga lima tahun dan selepas mereka mampu berdikari baharulah kita lepaskan mereka untuk kemudi perniagaan sendiri,” katanya.


Pengarang :