EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua kiri) mengendalikan kerusi roda pada Persidangan: Kita Selangor, Iltizam Reka Bentuk Sejagat Ke Arah Negeri Inklusif di Subang Jaya pada 7 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Persidangan reka bentuk sejagat beri kesedaran terap binaan mesra OKU

SUBANG JAYA, 7 MAC: Seramai 400 pihak berkepentingan dihimpunkan dalam persidangan reka bentuk sejagat yang bertujuan memberi kesedaran berhubung pembangunan kemudahan awam mesra orang kurang upaya (OKU).

Persidangan anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) turut mengenal pasti kekangan dihadapi jika fasiliti disediakan tidak aksesibel terhadap OKU serta golongan berusia.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihak terbabit didedahkan dengan kepentingan menerapkan alam bina bebas halangan dalam semua tipologi bangunan meliputi sekolah, perumahan, bangunan perniagaan dan pejabat.

“Semua pihak perlu berperanan menyediakan alam bina berdasarkan reka bentuk sejagat supaya usaha memperkasa OKU dapat direalisasikan.

“Kita berharap pihak berkepentingan komited melaksanakan projek pembangunan dengan mengambil kira keupayaan golongan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan itu hari ini.

Hadir sama pada program yang berlangsung di Hotel Sunway Resort di sini EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.

Antara tetamu dan peserta di Persidangan: Kita Selangor, Iltizam Reka Bentuk Sejagat Ke Arah Negeri Inklusif di Subang Jaya pada 7 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Sze Han berkata sebaik selesai persidangan, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk arkitek, perancang bandar, ahli majlis dan PBT bagi menetapkan garis panduan reka bentuk alam bina.

“Setakat ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai garis panduan (alam bina mesra OKU) dan perlu diperbaiki supaya menjadi garis panduan umum untuk semua PBT negeri ini,” katanya.

Terdahulu, program turut mendapat kerjasama Institut Perancang Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pertubuhan Arkitek Malaysia, Institut Landskap Arkitek Malaysia dan Majlis Tindakan OKU Selangor.


Pengarang :