Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pertahan keimanan, istiqamah dalam beramal agar tidak terpesong (VIDEO)

SHAH ALAM, 27 MAC: Umat Islam mesti mempertahan keimanan agar tidak mudah terpesong dengan dakyah musuh agama selain istiqamah dalam beramal.

Menghuraikan ayat lapan surah al-Imran yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Roslan Mohamed berkata manusia jangan berpaling daripada keimanan dan terikut cara kehidupan golongan kufur.

“Masyarakat hari ini mereka ada masalah itu (mudah terikut) dengan sertai orang kerana faktor tertentu, ajakan dan seumpamanya.. itu tidak boleh.

“Kita kena istiqamah. Kalau tiada istiqamah dalam kita beramal, kita akan mudah terpaling dan berpaling,” kata bekas pensyarah kanan Universiti Malaya itu.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Mengupas ayat sama, Amirudin berkata umat Islam mesti mempertahankan keimanan dan terus mensyukuri rahmat yang dilimpahkan kepada mereka.

Beliau juga berkongsi doa keteguhan hati yang dibaca Nabi Muhammad SAW selepas tahiyatul akhir meminta agar Allah tidak memesongkan hati mereka.

“Orang yang telah membaca (al-Quran)… sudah faham, dengar kuliah dan dapat petunjuk… tapi dia boleh terpaling jika Allah tidak mempertahankan hatinya,” katanya.

Mengupas konsep rahmat dalam ayat tersebut, Roslan berkata perkataan itu boleh difahami dalam bentuk yang luas mencakupi kasih sayang semasa manusia serta pemimpin kepada yang dipimpin.

“Bila kita sayang kepada sesuatu ia adalah rahmat daripada Allah. Jangan kita mencabuli rahmat Allah ini dengan benda-banda yang dusta,” katanya.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa


Pengarang :