Jemaah menunaikan solat Jumaat dengan saf rapat susulan peralihan negara ke fasa endemik ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pertahan kesucian, masjid bukan medan pecah belah umat Islam

Berikut sedutan titah ucapan DYMM Sultan Selangor pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Dewan Negeri Selangor yang ke-14 pada 13 Mac 2023.

—————————————————————————————————————————————————————————–

Kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan telah dijamin dengan teguh dalam perlembagaan.

Perkara 3, perlembagaan persekutuan menyatakan bahawa “agama Islam ialah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan”.

Beta menyambut baik langkah kerajaan Beta untuk terus memperkasa syiar Islam di bumi Selangor Darul Ehsan ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Untuk tahun ini, sebanyak RM65 juta telah disediakan khusus bagi tujuan pembangunan sekolah agama, masjid dan surau serta pejabat agama Islam.

Kedudukan agama-agama lain turut terpelihara di Selangor. Beta menyambut baik usaha kerajaan Beta yang telah menyediakan peruntukan yang lebih tinggi pada tahun ini kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) dengan peruntukan berjumlah RM8 juta berbanding RM6.3 Juta pada tahun lepas.

Di dewan ini, Beta mengambil kesempatan secara peribadi ingin mengingatkan semula kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

Beta telah beberapa kali bertitah dan mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Elak fitnah 

Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya.

Ini berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecah belahkan umat Islam khususnya orang Melayu.

Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, Beta telah menitahkan bahawa hanya mereka yang berkelayakan dan mempunyai tauliah daripada jawatankuasa tauliah MAIS sahaja yang dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di negeri Selangor ini.

Sekali lagi Beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah daripada berlaku.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Selangor pada tahun 2023 ini, Beta ingin mengingatkan MAIS secara berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang-orang politik tidak menjadikan masjid dan surau di Negeri Selangor sebagai pentas untuk mereka berceramah dan berkempen.

Beta menyeru untuk semua pihak yang mengambil bahagian di dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati satu sama lain.

Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan.


Pengarang :