SHAH ALAM, 14 MAC: Kawasan sekitar Klang dan Hulu Selangor dikenal pasti menjadi tanah yang bakal dianugerahkan kepada pemaju Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bagi membiayai kos pembinaannya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah pembayaran secara pertukaran tanah (land swap) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dijangka muktamad pada April.

“Selepas Aidilfitri, kita boleh isytiharkan di mana tapaknya dan berapa kos keseluruhan, bagaimana kewangan projek dapat dilaksanakan.
“Proses pertukaran tanah ada pilihan di Klang dan Hulu Selangor. Pulau Carey tiada dalam senarai kerana kita ingin tumpu pembinaan pelabuhan ketiga dan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS),” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu menerusi soalan tambahan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) bertanya berhubung pertukaran tanah bagi kos pembiayaan KSSA.
Menurut wakil rakyat Sungai Tua tanah sekitar stadium di Seksyen 13 terutama berhampiran Pasaraya Giant tidak menjadi pertukaran kerana terlibat dengan projek tebatan banjir.

Pada 15 Julai, Amirudin menegaskan tiada dana awam digunakan bagi pembangunan semula KSSA berikutan pelaksanaannya bersifat perkongsian awam-swasta.
Projek itu juga akan memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan terbabit seperti lokasi strategiknya dan jaraknya yang berhampiran stesen laluan transit aliran ringan (LRT3).