Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
AGENDASUKANKINI

Piala Sudirman: Malaysia lawan Taiwan, India peringkat kumpulan

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Malaysia dijangka berdepan laluan sukar pada Kejohanan Piala Sudirman yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 21 Mei di Suzhou, China.

Menerusi undian secara maya dijalankan di Suzhou hari ini, Malaysia yang menduduki ranking keempat kejohanan itu diletakkan di dalam Kumpulan C bersama Taiwan, India dan Australia.

Di atas kertas, pasukan India dan Taiwan dilihat bakal menjadi “batu penghalang” pada peringkat kumpulan buat kem badminton negara untuk melangkah jauh kerana dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, bagi Kumpulan A juara bertahan, China dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah jauh apabila diletakkan bersama-sama Denmark, Singapura dan Mesir.

Bagi Kumpulan B pula bakal menyaksikan pertembungan Indonesia dengan Thailand untuk dua pasukan teratas kumpulan, selain daripada Jerman dan Kanada yang diundi dalam kumpulan sama.

Dalam pada itu, Kumpulan D pula menyaksikan pertembungan Jepun bersama juara empat kali kejohanan itu, Korea Selatan, selain Perancis dan England.

Malaysia belum pernah memenangi kejohanan itu sejak kali pertama diadakan di Jakarta, Indonesia pada 1989.

Pada edisi lepas di Vantaa, Finland, perjalanan skuad badminton negara terhenti setakat peringkat separuh akhir selepas tumpas 1-3 kepada Jepun.

— BERNAMA

 


Pengarang :