Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah Nariza Zain (kiri) bergambar bersama salah seorang penerima bunga mawar sempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini. Foto PKM DUN Pandan Indah
ADNSELANGOR

PKM DUN Pandan Indah edar bunga mawar sempena sambutan Hari Wanita Sedunia

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 8 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah mengedarkan bunga mawar kepada penduduk sempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah Nariza Zain berkata bunga itu diedarkan bagi menghargai dan meraikan kaum wanita di kawasan itu.

“Sempena Hari Wanita Sedunia dengan tema ‘Kasih Wanita’, sebanyak 500 kuntum bunga mawar yang dihias bersama coklat diedarkan kepada kaum wanita di DUN Pandan Indah.

“Antara lokasi edaran bunga ialah di Klinik Ibu dan Anak Kampung Pandan Dalam, Klinik Kesihatan Kampung Cheras Baru dan restoran kopitiam,” katanya ketika dihubungi.

Nariza mengedarkan bunga-bunga tersebut mewakili Ahli Dewan Negeri Pandan Indah Izham Hashim.

Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi menghargai sumbangan dan jasa wanita dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memilih ‘Kasih Wanita’ sebagai tema sambutan itu.


Pengarang :