Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan PKNS, Nor Azlina Amran (dua, kanan), merasmikan Program Kasih Ramadan PKNS di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS peruntuk RM8,000 bantu 40 anak yatim beli baju raya

SHAH ALAM, 31 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntuk RM8,000 untuk sumbangan baju raya kepada 40 anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS), Rawang.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporatnya Sapna Turmidi berkata daripada jumlah itu setiap anak yatim menerima RM200 bagi pembelian baju raya di Kompleks PKNS pada Ahad ini.

“Bantuan ini bagi meringankan beban selain memberi keriangan kepada mereka dalam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian program Ramadan Kasih PKNS di ibu pejabat PKNS, Seksyen 14 di sini semalam.

Selain itu, Sapna berkata menerusi program itu pihaknya turut menganjurkan Majlis Iftar bersama semua anak yatim itu dan 10 guru mereka di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 April ini.

Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata dalam majlis berbuka puasa itu pihaknya akan memberi sumbangan RM5,000 kepada PEKEAS bagi menampung perbelanjaan pengurusan rumah anak yatim tersebut.

Sebelum ini, menerusi program Ramadan Kasih, PKNS menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan dan mengecat rumah PEKEAS di Bandar Tasik Puteri pada 18 Mac lalu.

Selain itu, seramai 30 kakitangan agensi tersebut juga menyantuni dan menyerahkan raga makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman pada 21 Mac.

PKNS turut memperuntuk RM10,000 untuk agihan bakul makanan menerusi program Bekal Ramadan Kasih kepada 50 penerima terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan orang tua pada 26 Mac.

Agensi itu dalam program sama menganjurkan edaran 5,000 bubur lambuk kepada kakitangan dan orang awam di Kompleks PKNS secara berperingkat mulai semalam diikuti 4, 6 dan 11 April.


Pengarang :