Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd Fakru Radzi Ab Ghani (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Datuk Nor Azam M Taib (Kiri) bergambar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di SACC Mall pada 3 Mac 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS Real Estate, MSSB Bank meterai kerjasama, pacu urus niaga tanpa tunai

SHAH ALAM, 3 MAC: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama MBSB Bank Bhd (MBSB Bank) bagi memacu perniagaan tanpa tunai dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua pegawai eksekutif PREC berkata kerjasama ini memberi peluang kepada peniaga di bawah agensi tersebut untuk mempergiat perniagaan menerusi aplikasi perbankan mudah alih dan e-dompet.

“Ia bakal memberi manfaat kepada peniaga menerusi penggunaan produk digital MBSB Bank melalui platform ‘real-time retail payment platform’ (RPP) seperti aplkiasi DuitNowQR.

“Transaksi tanpa tunai ini menjimatkan kos operasi masa dan membantu proses pengurusan kewangan yang lebih cekap, selain ia mampu beroperasi 24 jam sehari,” kata Fakru Radzi Ab Ghani.

Terdahulu Fakru menandatangani MoU secara digital bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Datuk Nor Azam M. Taib di SACC Mall, di sini hari ini.

Beliau menambah pelaksanaan perniagaan tanpa tunai melibatkan 1,000 peniaga PKS akan dimulakan di Festival Ramadan Selangor 2023 (Festira23) yang berlangsung selama 48 hari, mulai 5 Mac sehingga 21 April.

“Sebagai permulaan, para peniaga yang terlibat dalam Festira23 perlu membuka akaun di MBSB Bank dan menggunakan perkhidmatan perbankan secara digital dalam proses jual beli,” katanya.


Pengarang :