Ketua Pegawai Strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak (dua, kiri) menyampaikan bantuan kepada gelandangan, Disnina Mohamad, 53 (tiga ,kiri) ketika program Raga Ramadan Kasih PKNS di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 21 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS santuni gelandangan ibu kota, ringankan beban menjelang Ramadan

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Lebih 30 warga kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyantuni golongan gelandangan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini malam tadi, bagi menghulurkan bantuan kepada mereka bersempena bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak yang mengetuai program dikenali Raga Ramadan Kasih PKNS itu, berkata pihaknya berkerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Jejak Jalanan, dalam menghulurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik itu.

“Kami telah memperuntukkan sejumlah RM10,000 bagi program hari ini untuk memberi sumbangan barangan kering, selain dana untuk menambah baik pusat tuisyen anak-anak jalanan (dikendalikan Pertubuhan Jejak Jalanan),” katanya kepada pemberita.

Idris berkata aktiviti mendekati golongan gelandanga, merupakan sebahagian daripada lima siri tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS untuk bulan Ramadan kali ini.

Beliau pada masa sama berharap, agar program dijalankan pihaknya dapat memberi inspirasi kepada syarikat korporat serta pembayar zakat lain, dalam membantu golongan memerlukan bersempena bulan Ramadan.

Dalam pada itu, ketua aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan Azhan Adnan berkata PKNS merupakan syarikat korporat pertama yang menjalinkan kerjasama bersama mereka, sejak ditubuhkan pada tahun lepas.

Sehubungan itu, Azhan berharap kerjasama bersama PKNS dalam program tersebut, akan membuka jalan buat pihaknya untuk bersama badan korporat lain, membantu golongan memerlukan di ibu kota selepas ini.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan Disnina Mohamad, 53, berkata sumbangan diberikan PKNS, sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada keluarganya menjelang Ramadan kali ini.

“Suami saya menghidap strok dan saya pula merupakan peniaga nasi campur, saya harapkan bantuan PKNS hari ini setidak-tidaknya dapat ringankan beban kami untuk menyambut Ramadan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :