Ketua Pegawai Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak (dua, kanan) dan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal dan Anak Yatim (Bonda) Dato’ Ismail Che Abdullah (kanan) menyantuni penerima sumbangan pada Program Bekal Ramadan Kasih PKNS di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS santuni golongan memerlukan menerusi program Ramadan Kasih

SHAH ALAM, 26 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyantuni setiap kelompok khususnya golongan kurang berkemampuan menerusi enam siri Program Ramadan Kasih PKNS tahun ini.

Ketua pegawai korporatnya berkata setakat ini tiga siri program bantuan selesai dijalankan termasuk agihan Bekal Ramadan Kasih yang diadakan pada hari ini.

Menurut beliau, menjelang Ramadan, PKNS merancang beberapa program dengan mendekati pelbagai pihak berbeza untuk berkongsi kejayaan dan keuntungan kepada golongan memerlukan.

“Kita telah mengadakan gotong-royong dengan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS), Rawang dan Raga Ramadan menyantuni gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak bercakap kepada media selepas Program Bekal Ramadan Kasih PKNS di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tiga lagi siri program akan menyusul iaitu agihan bubur lambuk, pembelian baju raya dan majlis berbuka puasa,” kata Idris Ishak.

Beliau ditemui pada majlis agihan bekal makanan kepada 50 penerima terdiri daripada asnaf, fakir miskin, ibu tunggal dan orang tua di ibu pejabat PKNS di sini, hari ini.

Kelmarin, menerusi program Ramadan Kasih PKNS, seramai 30 kakitangan agensi itu menyantuni dan menyerahkan raga makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Sebelum itu, menerusi program sama, PKNS menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan dan mengecat rumah PEKEAS di Bandar Tasik Puteri pada 18 Mac lalu.


Pengarang :