Pengunjung mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Sementa di Balai MPKK Kerayong 2 pada 14 Mac 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS diminta tambah senarai sayuran, buah-buahan dalam jualan murah

KLANG, 15 MAC: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri terus mendapat perhatian orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah.

Suri rumah Hasyidatul Farahida Hashim, 34, berkata dia tidak pernah melepaskan peluang mengunjungi program itu setiap kali dianjurkan berhampiran tempat tinggalnya.

Hasyidatul Farahida Hashim. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Sejak tahun lepas lebih 10 kali saya datang di JER sekitar Klang sebab barangannya bukan setakat murah tetapi berkualiti dan segar,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu Melati Mat Zain, 48, berharap JER dapat dianjurkan lebih kerap terutama ketika bulan Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri nanti.

“Harap dapat dianjurkan selalu terutama nak dekat perayaan Aidilfitri nanti mudah untuk umat Islam mencari barangan bagi membuat persiapan menu hari raya.

“Memang sangat menjimatkan, saya belanja tidak sampai RM100 dapat beras, ayam, ikan, daging dan telur. Terima kasih Kerajaan Negeri semoga program ini diteruskan,” kata suri rumah itu yang ditemui di JER DUN Sementa di Balai MPKK Kerayong 2 semalam.

Melati Mat Zain. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Warga emas, Abdul Baki Basir, 73, berkata sudah tiga kali dia mengunjungi JER untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

“Saya harap program JER akan datang dapat tambah lebih banyak barangan asas seperti sayur, buah atau makanan laut dan dapat dijual pada harga lebih murah juga berbanding pasaran,” katanya.

Terdahulu, lebih 700 pengunjung hadir program jualan murah berkenaan semalam.

Abdul Baki Basir. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :