SHAH ALAM, 25 MAC: Kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi projek tanaman cili fertigasi akan membantu peserta menambah pendapatan bulanan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan PKPS berkata projek PJ City Food Valley menyasarkan seramai 240 peserta program tersebut memperoleh pendapatan tambahan sehingga RM2,000 sebulan.

“Program strategik bagi menyokong Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) melibatkan peserta dalam kalangan penduduk perumahan kos rendah Pelangi Damansara, Sri Damansara, Sri Manja dan Desa Peransang.
“Projek diadakan berperingkat. Fasa pertama projek berkenaan merangkumi tanah seluas 10 ekar diusahakan 40 penduduk setempat,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi kepada Selangorkini.
Ketika pelancaran projek pada Isnin lepas, beliau menjelaskan setiap peserta diberi satu plot tanah dengan 1,000 polibeg cili dilengkapi infrastruktur sistem fertigasi.
Pihaknya akan membimbing peserta dengan memberi latihan dan amali kaedah pertanian selain memasarkan hasil tanaman kepada orang ramai.
Pada 17 Mac lalu, PKPS dan MBPJ menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan IPR [email protected] City Food Valley.
Dokumen ditandatangani Mohammad Khairil manakala MBPJ diwakili Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir.
