Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni kanak-kanak kurang upaya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh di Segamat Johor pada 5 Mac 2023. Turut bersama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Bantuan RM50 juta disalur terus kepada mangsa banjir di Johor

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan menyalurkan semua bantuan terus kepada golongan yang memerlukan termasuk mangsa banjir meskipun ia tidak disalurkan melalui Ahli Parlimen.

Mengambil contoh peruntukan RM50 juta untuk keperluan banjir di Johor, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan ia disalurkan kepada mangsa banjir dan bukannya kepada negeri yang terkesan akibat bencana itu.

“Macam di Johor, RM50 juta diberi kepada yang memerlukan.

Peruntukan Parlimen walaupun belum sampai pada Ahli Parlimen, ia (bantuan) sampai ke bawah (rakyat),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2023 di Kompleks Kraf di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kerajaan memberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Muhyiddin juga mencadangkan bantuan segera banjir RM50 juta kepada Johor dinaikkan kepada RM100 juta.

Perdana menteri berkata kerajaan akan membelanjakan peruntukan RM50 juta terlebih dahulu dan ia disalurkan terus kepada mangsa banjir tanpa melalui pelbagai peringkat.

“Lagipun kos kita tiada komisen jadi ia terus kepada mangsa. Projek tebatan banjir disegerakan. Sebenarnya kalau ikut di Johor dah cecah hampir RM1 bilion termasuk projek tebatan banjir,” katanya.

Sementara itu, mengenai cadangan peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, Anwar bersifat terbuka untuk berbincang dengan Muhyiddin.

Anwar yang juga Presiden PKR menempelak dakwaan segelintir Ahli Parlimen pembangkang kononnya kerajaan tidak mengagihkan peruntukan secara sama rata kepada kawasan dan negeri dikuasai pembangkang.

“Bukan tak bagi, projek jalan di kampung macam RM50 juta pun, mereka bising (kata) zalim tidak bagi kepada negeri-negeri (pembangkang). Jadi guna istilah zalim, tidak adil atau guna al-Quran itu untuk ditunggangi puak itu. Projek (negeri) tidak kurang, (kerajaan) tidak potong. Ini hanya tohmahan politik sahaja,” katanya.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2023 yang bertemakan “Ini Kraf Malaysia”, berlangsung mulai 1 Mac hingga 13 Mac ini dengan menyasarkan nilai jualan RM16 juta dan kehadiran 185,000 orang pengunjung.

– BERNAMA


Pengarang :