Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) menikmati makan tengah hari bersama lebih 150 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di Kafeteria Randau Rasa, UKM pada 17 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM cuba sendiri Menu Siswa Rahmah di UKM

BANGI, 17 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Siswa Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Pada kesempatan itu, Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.

Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.

Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.

Selesai menjamu selera, Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.

– BERNAMA


Pengarang :