SHAH ALAM, 18 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta kepada sekolah pondok dan tahfiz berdaftar.
Anwar berkata peruntukan tersebut adalah kesinambungan daripada peruntukan bagi membaiki sekolah daif yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, Februari lalu.
“Kita beri peruntukan tambahan kepada sekolah pondok dan tahfiz yang akan diselaraskan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika menyampaikan ucapan penagguhan di Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), hari ini.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kementeriannya akan menanggung kenaikan kos haji yang dialami golongan B40 pada tahun ini.
Namun, katanya golongan M40 perlu membayar kenaikan kos haji pada kadar RM3,000 setiap jemaah, manakala T20 perlu membayar penuh kos rukun Islam kelima itu.
“Jemaah B40 pada tahun lalu perlu bayar kenaikan kos RM1,000, tahun ini tidak perlu. Kementerian Kewangan akan tanggung semuanya. Tetapi untuk M40 naik RM3,000 dan T20 perlu bayar penuh,” katanya.
Sebelum ini, pengurusan Tabung Haji menjangkakan kos haji pada tahun ini meningkat kira-kira RM31,000 berbanding hanya RM28,000 tahun lalu.
Peningkatan kos haji itu dipercayai turut membabitkan beberapa negara lain termasuk Indonesia, Brunei dan Thailand.