Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama jemputan ketika hadir program Selawat dan Munajat Perdana Untuk Malaysia bertemakan ‘Mahabbah Rasulullah Asas Kejayaan Malaysia MADANI’ di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM saran adakan lebih banyak majlis selawat dan munajat

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan lebih banyak majlis selawat dan munajat dapat diadakan di negara ini bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai agama Islam.

Beliau berkata program seperti itu juga dapat membantu umat Islam untuk mendekati Allah dan sentiasa mengingati kekuasaanNya.

“Kita boleh ikhtiar, kita boleh merangka, kita boleh mengadakan strategi ekonomi, budaya, pemerkasaan pelbagai bidang tetapi kita harus bertawakal kepada Allah.

Sebab itu saya mengambil peluang ini untuk meraikan dai dan ulama bersama-sama mengajak rakan-rakan di seluruh negara ke majlis yang segar dengan semangat umat sentiasa berselawat kepada junjungan besar Rasulullah menggunakan diversiti ini untuk meningkat kefahaman kepada ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Selawat & Munajat Perdana Untuk Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam ini.

Menurut Anwar, majlis ilmu itu juga selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang berniat untuk mentamadunkan masyarakat dengan usaha perpaduan dan bersatu untuk memanfaatkan insaniah, ekonomi serta sosial.

Namun, katanya usaha itu perlu berteraskan keyakinan kepada Allah dengan mengingatiNya dan berselawat kepada RasulNya.

Terdahulu Anwar yang tiba bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 7.50 malam menyertai selawat dan qasidah bersama kumpulan Syabab El-Mustafawiyah.

Ahli Parlimen Tambun itu turut bersama-sama menyertai selawat Nuril Anwar serta mendengar ceramah bertajuk “Mahabbah Rasulullah Asas Kejayaan Malaysia Madani” disampaikan oleh Al-Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.

Biarpun dalam keadaan hujan lebat, ribuan orang datang menyertai program keagamaan dan kerohanian itu yang merupakan cetusan bersama Pejabat Perdana Menteri dengan Pertubuhan Dai Kuala Lumpur bertujuan untuk memperkasakan hubungan ulama, pemimpin dan rakyat.

– BERNAMA


Pengarang :