Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 6 Mei 2021. FotoBERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis batalkan 1,010 lesen pemilikan raifal, kekang pemburuan haram

JERANTUT, 12 MAC: Sebanyak 1,010 lesen pemilikan senjata api jenis raifal dibatalkan dalam tempoh tiga tahun bermula 2020 dalam usaha mengekang aktiviti pemburuan haram, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata pembatalan itu dibuat berikutan raifal ialah senjata api paling kerap digunakan dalam kalangan pemburu haram.

“…sejak beberapa tahun lepas, kita ada membatalkan lesen pemilikan dan merampas senjata api dalam usaha membanteras pamburuan haram dan untuk tahun ini, kita telah merampas senjata yang berkaitan dengan pemburuan harimau di Gua Musang (Kelantan),” katanya.

Acryl Sani berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Zazuli Johan di Taman Negara di sini hari ini.

Tindakan membatalkan lesen pemilikan senjata api bagi mengekang aktiviti pemburuan haram diumumkan KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 2020, yang semasa itu memaklumkan ia akan dilakukan secara berperingkat selain polis akan turut menghentikan kelulusan syarat berburu bagi pemohon lesen senapang baharu.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata sejak pelaksanaan OKB bermula 2019 hingga 2022, sebanyak 291 kertas siasatan dibuka melibatkan tangkapan 477 pesalah terdiri daripada 353 warga tempatan manakala bakinya warga asing dan 1,875 jerat hidupan liar dimusnahkan, dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan RM224.08 juta.

Untuk tahun ini, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka melibatkan 30 pesalah rakyat tempatan dan seorang warga asing atas pelbagai kesalahan dengan jumlah sitaan RM6.4 juta.

“Antara hidupan liar yang kerap terlibat ialah harimau yang mendapat permintaan tinggi di Vietnam dan China, selain gajah yang biasanya lepas ditembak, akan terus dipotong gadingnya untuk ditolak (dijual) ke negara jiran seperti Thailand manakala burung seperti burung murai batu kerap diseludup ke Indonesia.

“Selain itu, penyeludupan haiwan luar ke negara kita turut berlaku seperti tenggiling yang dibawa masuk dari Indonesia sebelum dihantar ke Thailand, Vietnam dan China,” katanya.

Abdul Kadir juga berkata selain penggunaan senjata api, pihaknya juga serius menangani aktiviti pemburuan menggunakan jerat daripada dawai atau kabel yang turut menjadi faktor kepupusan hidupan liar seperti beruang, rusa, kijang, kambing gurun dan spesies lain.

Pelaksanaan OBK dan kewujudan pasukan khas Special Protected Area Response Team (SPARTA) sejak 2014 menurut Abdul Kadir, turut membantu menurunkan kekerapan aktiviti pemburuan haram di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :