Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 21 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Politik stabil, dasar jelas faktor utama Amazon melabur di Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Pentadbiran politik stabil dan dasar yang jelas dalam negara menjadi faktor utama Amazon Web Services (AWS) memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata pelaburan AWS bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037 memberi dampak yang tinggi kerana ia menambah keyakinan pelabur luar terhadap negara.

Perdana Menteri berkata rundingan dengan AWS dimulakan sejak Disember 2019, dan AWS menunggu sehingga mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil dengan dasar dan arahan yang jelas.

“AWS dipelawa oleh banyak negara Asean dan memilih Malaysia, bermakna ia menambah keyakinan dan memangkin kemasukan beberapa pelabur baharu dari barat dan timur.

“Ini (pelaburan AWS) juga memberi peluang kepada perniagaan tempatan kerana ia melibatkan pendekatan yang lebih canggih iaitu cloud (awan) yang berpangkalan di Malaysia,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Sim Tze Tzin (HARAPAN-Bayan Baru) berhubung implikasi pelaburan AWS dan Tesla serta perancangan kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi masuk ke Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, pelaburan oleh AWS bakal mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, selaras dengan dasar pelaburan baharu menerusi penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Malaysia dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).

“Peluang pekerjaan (dijangka) mencecah puluhan ribu kerana keperluan mereka bukan sahaja badan induk Amazon, tetapi jaringan yang memanfaatkan.

“Malah sebaik Amazon mengumumkan (pelaburan), beberapa syarikat dari Singapura dan Manila (Filipina) telah menyebut bahawa mereka mahu guna peluang itu untuk melabur dalam industri sampingan dan lingkaran di bawah cloud Amazon,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bagi menggalakkan pelaburan ke dalam negara, kerajaan akan memperkasa Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) supaya iklim pelaburan negara tidak tertakluk kepada satu bidang tetapi diperluaskan kepada bidang pendigitalan dan teknologi maklumat.

“Ini dianggap sebagai pendekatan baharu yang akan dibentangkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 pada suku ketiga 2023,” kata Anwar.

-BERNAMA


Pengarang :