Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa Sri Medan dipindahkan selepas PPS itu dinaiki air sejak dua hari lalu ketika tinjauan di Seri Medan Batu Pahat pada 5 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PPS dinaiki air di Batu Pahat, lebih 300 mangsa dipindahkan

BATU PAHAT, 5 MAC: Lebih 300 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Sri Medan, Yong Peng, di sini, dipindahkan, susulan dinaiki air sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata mereka dipindahkan ke SJKC Hwa Ming, Taman Maju, di sini, malam ini, dengan menggunakan aset daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.

“PPS ini boleh menampung sehingga 300 orang dan apabila berlaku kenaikan paras air kira-kira 0.3 meter, kita buat keputusan untuk pindahkan mangsa malam ini,” katanya.

PPS tersebut menempatkan 315 orang daripada 110 keluarga sejak dibuka pada 2 Mac lepas.

Penduduk yang ditempatkan di PPS itu, Siti Sarah Sulaiman, 35, berkata air mula melimpah ke dalam PPS sejak dua hari lepas.

Ibu kepada tiga anak itu berkata dia ditempatkan di PPS itu Khamis lepas apabila rumahnya di Parit Simen Sri Basir dinaiki air hingga paras pinggang.

“Pada waktu itu, tiada air banjir dalam PPS tetapi dalam tempoh dua hari (bermula Sabtu) air mula melimpah masuk dalam PPS.

“Saya risau kerana ada anak kecil berusia dua tahun yang nak ‘main’ air,” katanya yang turut menarik nafas lega apabila diarahkan berpindah ke PPS lain.

Tinjauan di Sri Medan Jaya, di sini, mendapati kawasan pekan lumpuh dengan laluan yang ada sudah dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat dan kereta pacuan empat roda, serta beberapa rumah di Jalan Besar Sri Medan di sini masih ditenggelami air.

– BERNAMA


Pengarang :