EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan ketika persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program anjuran Sidec sumbang RM334.7 juta kepada ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 14 MAC: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menyumbang RM334.7 juta kepada ekonomi negeri menerusi penganjuran pelbagai program sejak 2015.

EXCO pelaburan berkata program yang menyumbang kepada kejayaan itu antaranya Selangor e-Commerce Onboarding, e-Dagang Pendidikan dan Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM).

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, inisiatif lain termasuk Pemecut Selangor (SAP) dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) yang dianjur sejak beberapa tahun ini.

“Top ECM 2022 yang memberi penghargaan kepada usahawan memperoleh jualan RM58.9 juta dan 427,643 pesanan malah menerima 440 permohonan, tertinggi sejak dilancarkan.

“Tahun lalu, SDEC mencatatkan nilai potensi sebanyak RM50 juta dan membuka ruang pelaburan serta perniagaan antara pengunjung dan pempamer,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, Chang Khim berkata program e-Commerce Onboarding pula membantu 100 peniaga kecil dan sederhana memulakan perniagaan dalam talian.

Pada masa sama, jelasnya, program e-Dagang Pendidikan memberi latihan kemahiran kepada lebih 8,000 usahawan dalam tempoh tiga bulan, melepasi sasaran awal seramai 6,000 orang.

 


Pengarang :