HULU LANGAT, 4 MAC: Penerima manfaat program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) menganggap bantuan Kerajaan Negeri itu sebagai talian hayat meneruskan perniagaan pasca pandemik.
Usahawan sistem siar raya, N Panirselvam, 41, berkata pandemik Covid-19 yang melanda negara menguji perniagaan yang diusahakannya sejak 20 tahun lalu.

“Sebelum ini perniagaan saya terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan kerajaan.
“Sekarang ia semakin baik, namun saya masih berusaha untuk kembali stabil seperti dulu,” katanya yang menerima unit sistem bunyi ‘soundmixer’ menerusi bantuan I-Seed.
Panirselvam antara lima penerima yang diraikan sempena Jelajah Selangor Kita Penyayang peringkat Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Balakong di sini, hari ini.
Sementara itu, K Rathna Thevi, 47, bercadang mengembangkan jualan bunga yang diusahakannya sejak 10 tahun lalu di beberapa lokasi lain.
“Saya mohon I-Seed pada Januari lalu. Proses memohon juga tidak sukar. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang menyediakan bantuan menarik seperti ini,” katanya.

Program I-Seed dilancar pada April 2021 bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang diusahakan.
Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri itu.