Pemandangan dari atas menunjukkan keadaan sekitar Sungai Klang yang semakin bersih dengan bantuan alat pembersihan Interceptor. Foto Facebook Selangor Maritime Gateway
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek pulih sungai Klang tidak libatkan suntikan tunai Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 1 MAC: Projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang, sebahagian Gerbang Maritim Selangor (SMG), yang dilaksanakan mulai November tahun lalu tidak melibatkan sebarang suntikan tunai daripada Kerajaan Negeri.

Pengarah urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) memaklumkan projek yang dianggarkan bernilai RM700 juta sebaliknya dibiayai melalui tanggungan premium tanah yang akan dibangunkan berjumlah RM117 juta.

“(Ia turut melibatkan) tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” kata Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syaiful Azmen lagi, sesi libat urus dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan perunding mendapati projek 56 kilometer di Sungai Klang menelan RM700 juta dalam tempoh lima tahun.

Kerja pendalaman dan pelebaran sungai akibat banjir besar hujung 2021 yang memberi tumpuan kawasan kritikal, dari Kampung Bukit Lanchong hingga ke Taman Sri Muda, dan muara sungai dianggar memakan kos RM249 juta.

Tambahnya, penyertaan Dato’ Menteri Besar dan EXCO infrastruktur dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) bertujuan memastikan projek Kerajaan Negeri ini dijalankan secara telus dan teratur.

“Kedudukan Dato’ Seri Amirudin Shari dan YB Ir Izham Hashim adalah mewakili kepentingan Kerajaan Negeri agar projek ini dapat dilaksanakan secara telus, teratur dan menepati matlamat Kerajaan Negeri,” katanya.

Syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, LLSB dilantik oleh Kerajaan Negeri pada 2018 bagi menjayakan SMG, iaitu projek pemuliharaan dan pembangunan pinggir Sungai Klang.

LLSB bekerjasama dengan Berjaya Hartanah Berhad bagi menubuhkan syarikat bertujuan khas LLB setelah mendapat kelulusan, termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Kerjasama anak syarikat MBI dengan Berjaya Hartanah Berhad dibuat susulan tiada syarikat lain menepati kriteria kerana keadaan tanah dan prasarana yang memakan kos pemulihan yang tinggi.

Tindakan diambil selepas 98 syarikat yang menghantar cadangan melalui Permintaan Untuk Cadangan (RFP) pada 2019 tidak mencapai rancangan pembangunan semula Sungai Klang.

“Susulan daripada itu, LLSB telah menerima cadangan daripada Berjaya Land Berhad untuk menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan Sungai Klang secara holistik yang bukan sahaja melihat pembangunan hartanah tetapi usaha – usaha pembersihan dan pemuliharaan,” kata Syaiful Azmen lagi.

Kenyataan penuh Landasan Lumayan: Landasan Lumayan jawab isu bangunkan Sungai Klang RM700 juta


Pengarang :