EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek skim jaminan air capai 40.8 peratus, dijangka siap hujung tahun

SHAH ALAM, 15 MAC: Pelaksanaan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyelaras pengurusan air secara holistik di negeri ini mencapai 40.8 peratus setakat 28 Februari.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan projek merangkumi empat pakej kerja utama yang dilaksankan secara berfasa bermula November 2021 dijangka siap hujung tahun ini.

Beliau menjelaskan pakej A yang bermula 24 Jun tahun lalu mencapai 26.91 peratus manakala pakej B yang dimulakan pada 20 Disember 2021 menunjukkan prestasi 52.3 peratus.

“Pakej C yang bermula 5 November 2021 pula mencapai 45.36 peratus dan pakej D bermula 20 Disember 2021 mencatat prestasi 54.61 peratus,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian menambah perancangan skim jaminan air merangkumi dua fasa iaitu bagi menangani pencemaran di Sungai Selangor dan memastikan bekalan air mentah mencukupi untuk menghadapi kemarau.

Di bawah fasa satu, beliau berkata rakyat akan mendapat manfaat melalui konsep pembekalan air berterusan tanpa gangguan jika berlaku pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Keadaan kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Bagi fasa dua pula, Kerajaan Negeri menumpukan kepada program pengurusan sumber air secara holistik bagi memastikan simpanan air mencukupi untuk menampung permintaan ketika itu,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi loji rawatan air (LRA) jika berlaku pencemaran.

Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pemantauan skuad Pantas LUAS.

Berikut pelaksanaan empat pakej projek tersebut:

Pakej A: Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan Pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di Kolam HORAS 600 Kampong Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor

Pakej B: Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor

Pakej C: Kerja-kerja pembinaan pelencongan sungai, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk LRA SSP 1, 2 &3 Bestari Jaya, Kuala Selangor

Pakej D: Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk LRA Sungai Semenyih, Jenderam Hilir


Pengarang :