Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) Dr Yusri Zakariah (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama ahli Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Negeri Selangor ketika sesi town hall di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 Mac 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

PTGS: Tanah jadi tapak haram buang sampah dirampas, elak isu berulang

SHAH ALAM, 7 MAC : Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) boleh merampas tanah persendirian yang disewakan kepada pihak tertentu sebagai tapak haram pelupusan sampah.

Pengarahnya Dr Yusri Zakariah berkata tindakan itu diambil jika pembuangan sampah haram di lokasi tersebut masih berlaku walaupun pemilik tanah sudah diberikan nasihat dan notis oleh pihak berkuasa.

“Ia bagi mengelak isu tapak pelupusan sampah haram berulang kali berlaku melibatkan banyak daerah antaranya di Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Selangor.

“Apabila terima aduan (berhubung tapak sampah haram) tindakan akan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kemudian pejabat daerah dan PBT akan koordinasi. Biasanya PBT akan buat sitaan lori dan sebagainya.

“Kita akan menyemak tanah itu milik siapa sekiranya tanah kerajaan boleh terus buat penguatkuasaan, jika (tanah) milik persendirian, kita akan hantar notis 7A Kanun Tanah Negara kepada tuan tanah supaya pulihkan semula kepada keadaan asal. Jika tidak dilaksana kita akam rampas (tanah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Sesi Townhall Pengarah Tanah dan Galian Selangor bersama Penolong Pegawai Tanah Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Yusri berkata notis berkenaan bergantung kepada budi bicara pentadbir tanah atau pegawai daerah namun sekiranya serius ia akan mengambil tempoh munasabah sehingga 90 hari.

“Selagi tanah berkenaan tidak dipulihkan atau kembali kepada keadaan asal, kita akan mengenakan denda mengikut hari sebanyak RM100 sehari,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemilik tanah di Kampung Sri Sentosa, Ijok berdekatan tebing Sungai Buloh menjadikan tempat mereka sebagai tapak pelupusan sampah haram.


Pengarang :