Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan sumbangan RM 20,000.00 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan program simbolik penyerahan sumbangan telah diadakan di Pusat Dialisis MAIS, Cawangan Shah Alam pada 23 Februari 2023. Foto Facebook Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PTPTN sumbang RM20,000 kepada Yide, bantu rawatan pesakit dialisis

SHAH ALAM, 3 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima sumbangan RM20,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk dana rawatan pesakit dialisis minggu lalu.

Sumbangan itu diserahkan Pengarah PTPTN Selangor, Rohaida Deris kepada Pengurus Operasi Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Nor Hafzam Mohamad pada simbolik penyerahan di Pusat Dialisis cawangan Shah Alam.

Nor Hafzam berkata seramai 28 pesakit dialisis yang melibatkan enam cawangan Pusat Dialisis Mais menerima manfaat yang disalurkan oleh PTPTN itu.

“Pada tahun lalu, sebanyak RM383,000 jumlah tanggungan rawatan yang tidak ditanggung oleh penaja telah dibiayai sepenuhnya oleh Yide.

“Apabila PTPTN sudi bersama dalam membantu pesakit-pesakit, Yide sangat rasa bersyukur tidak terhingga,” katanya menerusi Facebook.

Yide mengurus selia enam cawangan Pusat Dialisis Mais di Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Taman Melawati.

Sebanyak RM500,000 diperlukan setiap tahun bagi membiayai kos rawatan ujian darah dan ubat-ubatan bagi pesakit dialisis kurang berkemampuan daripada pelbagai peringkat umur.

Rawatan hemodialisis adalah salah satu peranan Yide dalam memberi khidmat sokongan kebajikan khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan.


Pengarang :