Timbalan Menteri Adam Adli Abdul Halim menyatakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melancarkan semula program Rakan Muda selepas Aidilfitri ini. Foto Facebook Adam Adli
AGENDANASIONAL

Rakan Muda dilancar semula selepas Aidilfitri, tambah baik dilakukan

ALOR SETAR, 24 MAC: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka melancarkan semula program Rakan Muda selepas sambutan Aidilfitri ini.

Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim berkata program yang diperkasakan semula menerusi pelbagai penambahbaikan itu adalah sebagai usaha untuk menyediakan peluang yang lebih luas kepada golongan belia.

“Rakan Muda ini memang sentiasa berjalan, tinggal lagi kita perlu jadikan ia ‘flagship’ kembali, jadikan program utama kerana di bawah Rakan Muda ada banyak sektor yang boleh membuka peluang dan platform kepada individu dan pertubuhan untuk terlibat secara langsung.

“Ini juga membolehkan mereka mempunyai akses kepada lebih banyak sumber dan Jabatan Belia. Setiap Jabatan Belia negeri masih ada Pejabat Rakan Muda dan masih berjalan seperti biasa cuma kita mahu ia dijadikan wadah utama KBS semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Belia Madani Rakan Muda Imarah Ramadan di sini, hari ini.

Beliau berkata Rakan Muda terbukti menjadi satu program berjaya untuk menarik ramai orang terutamanya golongan belia dan penglibatannya mampu mencapai jutaan orang.

“Itu yang KBS mahu capai tahun ini dan seterusnya akan diperbesar lagi pada tahun depan, jadi tunggu kerana program ini akan dilancarkan oleh Menteri KBS sendiri nanti,” katanya.

Pada 5 Mac lepas, Adam Adli berkata program Rakan Muda akan diperkasakan semula menerusi pelbagai penambahbaikan yang meliputi pembangunan potensi dan semangat kesukarelawanan agar dapat memberi impak lebih menyeluruh dan positif kepada golongan belia.

Rakan Muda ialah program pemupukan minat, penggilapan bakat dan penyerlahan potensi diri melibatkan belia berumur 15 hingga 25 tahun yang diperkenalkan kerajaan pada 1994.

– BERNAMA


Pengarang :