EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kanan) diiringi Pengarah Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey (dua kanan) menggantung plak menu Rahmah di Restoran Deli Thai, Shah Alam pada 3 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ramai minat sertai sidang halal, reruai makanan dapat permintaan tinggi

SHAH ALAM, 3 MAC: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) edisi kedua yang akan membuka tirai bermula 10 Mac ini menerima penyertaan hampir 200 pemain industri.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan persiapan acara itu kini berada pada peringkat akhir selain mengalu-alukan lebih ramai peniaga mengambil bahagian.

“Saya mempelawa semua termasuk pemain industri halal sertai persidangan ini kerana banyak program bermanfaat termasuk padanan niaga, pameran, seminar dan forum yang berkongsi maklumat terutama aspek pasaran serta perbekalan.

“Bagi persidangan kali ini, reruai paling banyak melibatkan kluster makanan dan minuman berbanding farmasi, penjagaan diri, kecantikan dan pelancongan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program Menu Rahmah peringkat Negeri Selangor di Kafe Sentral, Seksyen 14 dan Restoran Deli Thai, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata Selhac menumpukan enam komponen iaitu forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pameran dengan sasaran padanan perniagaan RM50 juta turut meliputi kluster makanan dan minuman, farmasi dan penjagaan kesihatan, busan sopan, bahan mentah dan ramuan halal, kecantikan serta pelancongan dan hospitaliti.

Menurutnya, pameran turut memberi ruang kepada pemain industri meneroka peluang perniagaan, memperluas pemasaran produk selain berkolaborasi antara satu sama lain.

Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.


Pengarang :