Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rasa syukur papar keimanan, sifat kehambaan kepada-Nya (VIDEO)

SHAH ALAM, 24 MAC: Bersyukur nilai penting dalam kehidupan sekali gus membuktikan keimanan dan menunjukkan sifat kehambaan seseorang kepada Allah SWT.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan orang beriman bersyukur atas nikmat kurniaan-Nya dan tidak mudah berbangga dengan pencapaian sendiri.

Dalam episod dua program Tadabbur al-Quran bersama Ustaz Roslan Mohamed, beliau berkata manusia wajar bersyukur kerana Allah SWT memberi keringanan untuk melaksanakan ibadat puasa.

“Saya rasa ini antara perkara yang sangat-sangat harus difahami ketika kita melaksanakan Ramadan. Pada saat kita rasa susah tapi ada kelapangan di dalamnya,” katanya.

Roslan, bekas pensyarah kanan Universiti Malaya, menambah rasa syukur datang daripada keimanan berikutan mereka mudah rasa bersyukur berbanding orang tidak beriman.

“Hukum hakam kamu patuhi dan kesan terakhir, kamu akan jadi hamba yang syukur,” katanya dan menambah keringanan diberi kepada mereka yang uzur syarie antaranya wanita haid dan musafir.

Dalam program anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor, anak syarikat Kerajaan Negeri, Amirudin membaca satu ayat tiap hari sepanjang Ramadan dan Roslan memberi huraian.

Majlis bermula semalam dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor. Episod satu menyentuh kepentingan infak sebahagian harta.


Pengarang :