Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berbual bersama mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pagoh, Johor pada 4 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

RM1,000 disalur dalam tempoh seminggu selepas Nadma dapat maklumat lengkap mangsa banjir

MUAR, 4 MAC: Kerajaan akan menyalurkan segera pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana banjir, selepas mendapat maklumat lengkap disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menetapkan tempoh selewat-lewatnya seminggu, untuk menyalurkan bantuan berkenaan kepada negeri dan daerah terlibat.

“Nadma tidak akan bertangguh dari aspek tersebut, itu juga komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, bahawa ia perlu disalur segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat di Pusat Kawalan Operasi Bencana Muar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat pusat pemindahan sementara (PPS) IKTBN Pagoh, dan PPS Dewan Serbaguna Pagoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berbual bersama mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pagoh, Johor pada 4 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara

Armizan berkata, ketika ini, pihaknya faham Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah memerlukan sedikit masa untuk menyemak data dan statistik, supaya tidak berlaku pertindihan dan memastikan hanya mangsa banjir yang berkelayakan menerima bantuan tersebut.

Beliau berkata ini memandangkan, terdapat juga mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS dan sehubungan itu, maklumat mereka perlu disahkan menerusi pelbagai pihak seperti penghulu, ketua kampung atau Pejabat Daerah.

“Ini (BWI) dana awam, jadi walaupun kita telah kurangkan karenah birokrasi ada juga prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pasukan tambahan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari beberapa negeri, dijangka tiba hari ini di Johor bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.

Armizan berkata menurut laporan dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sebanyak 14 Siri Amaran Hujan Berterusan telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MeTMalaysia) sepanjang Monsun Timur Laut 2022/2023.

“Luruan monsun dijangka berterusan sehingga 6 Mac ini, menyebabkan hujan berterusan dijangka berlaku di selatan Semenanjung, manakala ribut petir di barat Sarawak dijangka berlaku pada petang hingga awal pagi sehingga 6 Mac ini,” katanya.

MeTMalaysia juga meramalkan hujan sangat lebat berterusan (kategori bahaya), dijangka berlaku di Segamat, Kluang dan Mersing sehingga esok.

– BERNAMA


Pengarang :