EXCO Pelaburan Dato Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kiri) dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping pada Program Smart Raya Selangor 2023 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 16 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM46,000 menanti 602 usahawan di anugerah peniaga e-dagang 2023

SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 602 usahawan berpeluang merebut hadiah terkumpul RM46,000 menerusi Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata edisi kelapan pertandingan dari Mac hingga Mei itu bagi mengiktiraf jenama serta peniaga e-dagang yang berjaya, kreatif dan inovatif.

“Kita menerima 602 permohonan untuk menyertai pertandingan ini sejak dibuka 1 hingga 28 Februari iaitu peningkatan 36.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Peserta akan dinilai berdasarkan peraduan jualan dalam talian meliputi 50 peratus pemarkahan manakala peraduan siaran langsung dan potensi perniagaan masing-masing 25 peratus.

“Keputusan akan diumum pada awal Jun,” katanya pada sidang media pengumuman inisiatif Smart Raya Selangor 2023 di sini hari ini yang turut dihadiri EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Kai Ping menambah anugerah itu menampilkan tiga kategori meliputi Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards, Selangor Onboarding Programme Awards dan Affin Bank Special Awards (Rising Star dan Affingem Women Trailblazer Awards).

“Anugerah Rising Star ialah kategori khas dengan tiga pemenang dipilih berdasarkan potensi perniagaan syarikat, beroperasi kurang tiga tahun dan disenarai pendek 40 terbaik kategori utama.

“Affingem Women Trailblazer Awards pula subkategori baharu diperkenalkan tahun lalu sebagai pengiktirafan khas kepada usahawan wanita yang berjaya dalam industri,” katanya.

Anugerah Top ECM 2023 mendapat sokongan Affin Bank sebagai penaja utama selain Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Kerjasama turut melibatkan SME Corp, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (Pikom), Internet Alliance serta Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).


Pengarang :