Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (dua, kiri) selepas Majlis Pelancaran Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Turut bergambar (dari kanan) Pengarah UPEN Negeri Selangor Datuk Johary Anuar, Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

RS-1 bantu negeri sumbang 30 peratus KDNK menjelang 2026

SHAH ALAM, 15 MAC: Selangor mampu menyumbang 30 peratus Keluaran Negara Kasar (KDNK) menjelang 2026 hasil pembangunan beberapa projek mega dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar berkata projek seperti Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam dan Kompleks Stadium Shah Alam dijangka mampu menyumbang satu peratus kenaikan KDNK setiap tahun.

“Lonjakan pembangunan negeri yang dirangka dalam RS-1 akan mengekalkan kita sebagai penyumbang KDNK terbesar negara. Setiap tahun kita catat pertumbuhan hingga 0.4 peratus KDNK nasional.

“Kalau kita unjurkan berterusan sebagaimana sebelum ini, kita (boleh) sumbang 27 peratus kepada KDNK nasional. Saya percaya suntikan RS-1 mampu capai 30 peratus KDNK menjelang 2026,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (tiga, kiri) selepas melancarkan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS ) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau melancarkan IDRISS di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini.

Pada 2021, Selangor menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia sebanyak 24.8 peratus hasil kestabilan dan pengukuhan tadbir urus.

Amirudin berkata Selangor juga mendahului negeri lain dengan nilai KDNK berjumlah RM343.5 bilion berbanding RM327.1 bilion pada 2020.

Beliau berkata sumbangan utama diterajui sektor perkhidmatan sebanyak 59.5 peratus, pembuatan (31.4 peratus), pembinaan (5.1 peratus), pertanian (1.5 peratus) dan perlombongan (0.2 peratus).

 


Pengarang :