OLEH DIANA ABD WAHAB
SEPANG, 19 MAC: Kerajaan Negeri yakin sasaran pemasangan 6 juta lampu diod pemancar cahaya (LED) di bangunan perumahan berstrata mampu dicapai menjelang 2025.
EXCO perumahan berkata langkah tersebut dapat menyelamatkan kira-kira 10 juta pokok daripada ditebang seterusnya membantu pengurangan pelepasan karbon.
“Usaha ini juga penting kerana kita mahu generasi akan datang menikmati kehidupan sebagai mana kita hari ini iaitu dalam keadaan moden dan mengekalkan alam sekitar.
“Dalam masa sama kita menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan juga isu karbon kerana selamatkan bumi dengan tidak menebang pokok,” kata Rodziah Ismail kepada Selangorkini.
Beliau ditemui pada majlis perasmian Program Teknologi Hijau Lampu LED Pangsapuri Seroja Taman Putra Perdana Puchong di sini, hari ini.
Menurutnya, dengan pelan tindakan yang lebih tersusun selain sokongan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) sasaran itu mampu dicapai.
“Dengan penglibatan semua pihak, saya harapk apabila program ini diuar-uarkan maka ia (sasaran) dicapai lebih cepat,” katanya.
Pada 14 Oktober tahun lalu, Rodziah berkata inisiatif Bangunan Hijau dilaksana Kerajaan Negeri dengan kerjasama Synergy Group menyediakan peruntukan RM400 juta dan dijangka memberi manfaat kepada penghuni di 6,000 bangunan perumahan berstrata.
Katanya, kemudahan itu menyumbang kepada inisiatif hijau, menjimatkan tenaga dan tahan lama.