Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik pelancaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sejuta pelajar didaftar secara automatik untuk skim insurans negeri

SHAH ALAM, 22 MAC: Seramai sejuta pelajar yang bersekolah di negeri ini didaftarkan secara automatik dalam Skim Insurans Am Selangor (INSAN), kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri menanggung bayaran premium melibatkan murid tahun satu hingga tingkatan enam termasuk pelajar sekolah swasta.

Beliau menjelaskan langkah bagi melaksanakan perkara itu dibuat hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Menteri Pendidikan serta Jabatan Pendidikan Negeri.

“Inisiatif ini adalah satu-satunya di Malaysia di mana anak-anak anda yang pergi ke sekolah dilindungi skim insurans yang ditanggung Kerajaan Negeri,” katanya di Facebook hari ini.

Polisi insurans kemalangan diri berkumpulan ditawar khusus untuk penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun dengan premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut, layari programinsan.com.


Pengarang :