Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sejuta pelajar terima perlindungan insurans secara automatik mulai 20 Mac

HULU LANGAT, 4 MAC: Seramai sejuta pelajar Selangor bakal menerima perlindungan insurans secara automatik bermula sesi persekolahan yang dibuka 20 Mac depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembiayaan premium daripada dana Kerajaan Negeri itu melibatkan murid tahun satu hingga tingkatan enam termasuk pelajar sekolah swasta.

“Insya-Allah sebelum Ramadan kita aturkan secara automatik anak-anak yang pergi sekolah akan berdaftar dengan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) bagi perlindungan diri,” katanya berucap di Jelajah Kita Selangor Penyayang Hulu Langat di sini hari ini.

Pada Januari, Amirudin memberitahu mahu berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi membolehkan murid sekolah rendah berdaftar dengan INSAN untuk melindungi golongan berkenaan.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya menyasarkan lima juta penduduk akan mendaftar skim terbabit sehingga hujung tahun ini.

“Setakat ini lebih tiga juta sudah mendaftar. Skim ini untuk enam juta individu dan Selangor memiliki hampir tujuh juta penduduk bermakna hampir keseluruhan rakyat akan dilindungi.

“Bukan hanya di Malaysia tetapi di Asia Tenggara juga hanya Selangor mampu beri insurans kepada rakyatnya,” katanya.

INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut, layari programinsan.com.

 


Pengarang :