Gambar yang dirakam Azizah ketika mereka sekeluarga terperangkap di atas bumbung rumah di Kampung Jawa, Chaah, Segamat pada 1 Mac 2023. Foto Facebook Azizah Bani
AGENDANASIONAL

Sekeluarga terperangkap atas bumbung rumah akibat banjir, berada dalam kesejukan

SEGAMAT, 1 MAC: Suami isteri bersama tiga anak dan seorang lagi ahli keluarga terperangkap di atas bumbung rumah mereka di Kampung Jawa, Chaah, dekat sini apabila kawasan itu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Azizah Bani, 53, berkata dia terpaksa memecahkan bumbung rumah mereka di Jalan Sidek, berhampiran Masjid Chaah itu sebelum bersama abangnya, suami dan tiga anak memanjat keluar untuk menyelamatkan diri apabila rumah mula ditenggelami air, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Dia turut menggunakan laman Facebook melalui tayangan video secara terus, meminta diselamatkan dengan segera, lapor Berita Harian.

“Saya mohon bantuan segera untuk selamatkan saya sekeluarga atas bumbung ini. Tolong hantar bantuan helikopter dengan kadar segera. Kami sehelai sepinggang, tiada makanan minuman dan basah akibat hujan lebat.

“Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azizah berkata, dia juga sudah menghubungi bomba serta talian kecemasan 999 beberapa kali bagi memohon bantuan dan diberitahu sekitar bandar Labis turut terjejas teruk akibat banjir.


Pengarang :