Pesawah di Sekinchan melakukan penanaman padi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor aplikasi AI, IoT untuk sawah, hasil hingga 10 tan satu musim

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Selangor mengaplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) bagi meningkatkan hasil tuaian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan teknologi itu berjaya menghasilkan antara enam hingga 10 tan sehektar padi bagi satu musim.

“Pengurusan jelapang padi di Selangor mengaplikasi AI dan IoT bagi meningkatkan hasil tuaian. Ia menghasilkan antara enam hingga 10 tan sehektar bagi satu musim,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam Facebooknya, beliau turut berkongsi laporan Berita Harian pada 6 Mac 2023 mengenai saranan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya mencontohi Selangor dalam aspek pengurusan jelapang padi yang mengaplikasi AI dan IoT bagi meningkatkan hasil tuaian.

Mohamad berkata hasil lawatan kerja beliau ke kawasan tanaman padi di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada Isnin lepas mendapati penggunaan teknologi moden dalam proses penanaman dan pengeluaran padi di kawasan itu berjaya menghasilkan antara enam hingga 10 tan sehektar bagi satu musim.

“Jika semua pesawah di negara ini dapat mencapai purata enam tan, bekalan beras di Malaysia sudah mencukupi, jika melebihi enam tan kita sudah boleh eksport beras ke luar negara,” kata Mohamad selepas Lawatan Kerja ke Jelapang Padi Selangor.

Mohamad berkata jelapang padi di Selangor dilihat lebih subur menghijau berbanding negeri lain yang kebiasaannya ditumbuhi rumput lebih tinggi daripada padi.

Malah Mohamad berharap teknologi yang digunakan di Selangor boleh digunakan di negeri lain seperti penggunaan ‘jentanam’ (jentera penanam) yang boleh masuk ke celah padi untuk membuang rumput.


Pengarang :