SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Selangor membelanjakan RM4.273 juta bagi membiayai kos pengajian 189 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh lima tahun sejak 2018.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor membabitkan sebahagian daripada 11 program pembiayaan pendidikan.

“Secara keseluruhan kita telah memberikan sumbangan kepada 103 pelajar IPT pada 2018, 2019 (18), 2020 (18) 2021 (9) dan 2022 (41).
“Beberapa tahun yang agak kecil (jumlah penerima biasiswa) itu disebabkan pandemik Covid-19 dan pembukaan universiti agak terganggu,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj berhubung jumlah pelajar IPT yang menerima biasiswa Kerajaan Negeri dari 2018 hingga tahun lalu.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan Biasiswa Selangor Bitara (BITARA) RM1 juta kepada seorang penuntut Royal College of Surgeons di Ireland pada 2021.
“Kita juga membiayai seorang pelajar menerusi Biasiswa Timur Tengah. Kos pembelajaran ditanggung sepenuhnya hingga pelajar ini cemerlang, dengan syarat harus bekerja di Selangor atau berkhidmat di anak syarikat Kerajaan Negeri,” katanya.