Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor belum lulus projek PJD Link, masih tunggu maklum balas pemaju

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kerajaan Negeri belum memberi sebarang kelulusan berhubung pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebaliknya berkata kelulusan untuk projek tersebut sebelum ini diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri juga belum menerima sebarang cadangan perubahan daripada pemaju untuk pembinaan PJD Link. Malah, seperti sebelum ini pemaju memaklumkan akan cuba menghindari sebarang aduan daripada penduduk.

“Buat masa ini, tiada perancangan untuk PJD Link daripada Kerajaan Negeri kecuali jika mereka datang berjumpa kita,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen semalam.

Julai tahun lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan meneliti laporan pemaju secara menyeluruh sebelum membenarkan pembinaan projek PJD Link.

Bagaimanapun, setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang laporan yang menjadi syarat dalam perjanjian konsesi bersama pemaju.

Sebelum ini, kira-kira 50 penduduk Petaling Jaya berhimpun di Jalan Prof Khoo Kay Kim bagi membantah projek PJD Link yang diluluskan kerajaan secara dasar.


Pengarang :