Pasukan ragbi Selangor menjuarai kategori Cup ketika menentang PDRM pada saingan Kejohanan Ragbi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) Malaysia 10 Sebelah 2023 di Stadium Ragbi Perak pada 12 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selangor juara kejohanan ragbi penjawat awam, tumbang PDRM 19-0

IPOH, 12 MAC: Selangor dinobatkan selaku juara Kejohanan Ragbi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) Malaysia 10 Sebelah 2023 selepas menumbangkan PDRM 19-0 dalam perlawanan akhir kategori Cup di Stadium Ragbi Perak, di sini hari ini.

Kejayaan tersebut sekali gus menebus kekecewaan Selangor yang sekadar merangkul kedudukan naib juara dalam kejohanan sama tahun lepas, setelah tewas kepada ATM 0-3.

Dalam perlawanan itu, Selangor yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan Raimi Mohd Yusof, dilihat lebih mendominasi aksi apabila mendahului PDRM 7-0 menerusi try oleh Muhammad Nazreen Fitri Nasrudin pada minit kelapan, serta conversion yang berjaya disempurnakan Muhammad Faridzur Ismail di minit kesembilan.

Bersambung di babak kedua, Selangor terus melebarkan kedudukan kepada 14-0, kali ini giliran Muhammad Farid Fauzi berjaya menyudahkan try pada minit ke-12 manakala Muhammad Nazreen Fitri melakukan conversion di minit ke-13.

Muhammad Nazreen Fitri terus menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan apabila menyempurnakan try pada minit ke-20 sekali gus menutup peluang PDRM untuk bangkit.

Mengulas mengenai perlawanan, Raimi berkata kejuaraan Selangor adalah bersandarkan kepada faktor pengalaman selain komitmen para pemainnya yang berjaya mengunci pergerakan dan strategi pasukan lawan.

“Kelebihan kita adalah berdasarkan faktor pengalaman iaitu empat bekas pemain kebangsaan dan seorang pemain kebangsaan berada dalam pasukan. Faktor ini yang kita gunakan sepenuhnya dan menjadi sebab utama kita muncul juara,” katanya.

Sementara itu, bagi perlawanan akhir kategori Shield, Melaka berjaya menggenggam kejuaraan selepas mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan 17-5, manakala dalam aksi final kategori Bowl, Johor muncul juara selepas ‘membelasah’ Pahang 48-0.

ATM pula menjulang kejuaraan dalam kategori Plate selepas menundukkan Sabah 22-0.

Sebanyak 17 pasukan menyertai kejohanan kali ini, terdiri daripada ATM, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Penjara Malaysia, Kelantan, PDRM, Perlis, Sabah, Johor, Sarawak, Perak, Labuan, Kuala Lumpur dan Pahang.

-BERNAMA


Pengarang :