Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap pada Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor larang program pengaruhi umat Islam minat agama lain

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebarang penganjuran program yang bertujuan memujuk atau mempengaruhi umat Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang dianjurkan di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjelaskan perkara tersebut satu kesalahan bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Mais mengambil pendekatan berhati-hati demi memelihara akidah umat Islam meski tidak melarang persahabatan dan toleransi dengan orang bukan Islam.

“Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, Mais berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menyeru semua masyarakat agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun Fasal 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak tiap-tiap orang untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, namun ia masih tertakluk kepada undang-undang yang digubal untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin dan kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam sepertimana yang dijelaskan dalam Fasal 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :