EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan ketika persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Selangor lulus RM556.6 juta tambah baik infrastruktur asas tangani banjir

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM556.6 juta bagi menambah baik infrastruktur asas menangani banjir di negeri ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata 44 peratus atau RM245.86 juta daripada jumlah itu diperuntuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pembangunan projek tebatan banjir.

Beliau memaklumkan perancangan pengurusan banjir dilaksana agensi terbabit meliputi pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir, terowong banjir, saluran pintasan (bypass channel) dan (empangan) barrage.

“Sistem saliran juga dinaik taraf selain pembinaan kolam takungan banjir seperti simpanan bawah tanah, kolam takungan bertingkat, simpanan menegak dan melintang.

“Perancangan lain projek ramalan amaran banjir negara, kajian pengurusan lembagan sungai bersepadu dan kajian pelan induk tebatan banjir serta pelan induk saliran mesra alam,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung peruntukan adaptasi dan mitigasi kesan perubahan iklim yang diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata kerajaan persekutuan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM455.2 juta kepada JPS bagi pelaksanaan empat projek tebatan banjir di Sungai Kayu Ara, Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Kuyoh.

“Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) turut menyediakan peruntukan pembangunan bagi projek bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, Perubahan Iklim,” katanya.


Pengarang :