EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tengah) melancarkan majlis perasmian Garis Panduan Pendaftaran Dan Pelesenan Perniagaan Dalam Talian Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 16 Mac 2023. Turut sama Dato Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md. Azmir dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor negeri pertama laksana daftar lesen niaga dalam talian

SHAH ALAM, 16 MAC: Selangor merupakan negeri pertama melaksana garis panduan pendaftaran dan pelesenan perniagaan dalam talian, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata garis panduan yang dikuat kuasa bermula 1 Januari tahun lalu mensasar peniaga yang menjalankan perniagaan dari premis kediaman, komersial dan industri.

“Bagaimanapun setakat ini kita hanya menerima sebanyak 110 pendaftaran pada tahun lalu dan 27 permohonan pendaftaran setakat tahun ini.

“Jadi, majlis perasmian ini bertujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai pelesenan perniagaan dalam talian supaya lebih ramai golongan sasar dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian garis panduan pendaftaran dan pelesenan perniagaan dalam talian Selangor di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sze Han menjelaskan Selangor merekodkan lebih 40,000 usahawan dalam talian yang berdaftar dengan Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM).

Menurutnya, pelaksanaan pelesenan perniagaan dalam talian ini membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka, selain memberi keyakinan kepada pelanggan.

“Selepas adanya garis panduan ini, mereka boleh mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) secara rasmi.

“Sebelum ini ada peniaga yang mengadu, tanpa lesen PBT mereka menghadapi masalah terutamanya untuk mengimport barangan dari luar negara kerana pembekal memerlukan lesen tersebut,” katanya.


Pengarang :