Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor negeri terbaik jaga kebajikan rakyat, banyak bantuan disedia

SHAH ALAM, 15 MAC: Selangor merupakan negeri terbaik terutama dalam menjaga aspek kebajikan rakyat dari bayi sehingga warga emas.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata perkara itu dapat dilihat dengan penganjuran pelbagai program sehingga 46 skim Iltizam Selangor Penyayang (ISP) khusus untuk penduduk negeri.

“Ini tidak termasuk air percuma, vaksin percuma, bantuan guaman, saringan kesihatan, data internet, Bas Smart Selangor, kaunseling dan banyak lagi yang belum disebut.

“Ini hanya gambaran ringkas kisah mengenai betapa bahagianya seseorang yang lahir di sebuah negeri bernama Selangor.

“Ini tidak termasuk inisiatif dari pelbagai segi dan sektor lain seperti keusahawanan, pertanian, digitalisasi, perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Jamaliah menggalakkan semua individu bersama membantu menguar-uarkan semua inisiatif negeri melalui WhatsApp, Facebook, Twitter, Insta dan Tik Tok.

“Ini adalah bukti kita telah berkhidmat dengan cemerlang demi nusa dan bangsa,” katanya.

Isnin lalu, Sultan Selangor ketika istiadat pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 menyeru penduduk menyertai 46 program kebajikan ISP.

Baginda turut menghargai usaha Kerajaan Negeri yang memperkenalkan pelbagai program dan kebajikan untuk manfaat rakyat.

Bermula 2008 selepas memegang tampuk pentadbiran, Kerajaan Selangor menyedia tujuh program dengan tema Merakyatkan Ekonomi Negeri.

Skim bertambah kepada 43 menerusi Inisiatif Peduli Rakyat pada 2017 sebelum penyelarasan dibuat menjadikan 33 bantuan disediakan pada 2019.


Pengarang :