EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor pertimbang tandatangan akta selesai isu sampah haram

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri pertimbang untuk menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sebagai penyelesaian jangka panjang masalah sampah haram.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata dengan menandatangani akta itu penguatkuasaan dan pemantauan sampah akan dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“SWCorp akan menjadi badan berautoriti tunggal yang bertanggungjawab ke atas pengurusan sampah.

“Berbanding sekarang, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab terhadap kawasan masing-masing dan jumlah penguat kuasa juga terhad serta perlu melakukan pelbagai tugas lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han menambah Akta 672 memperuntuk denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pembuangan sampah haram.

Menurutnya, hukuman itu berbeza dengan penguatkuasaan undang-undang sekarang yang hanya memperuntukkan denda sekitar RM1,000 yang tidak cukup menggerunkan pesalah.

“Kerajaan Negeri memberi jaminan akan memberikan perhatian yang serius terhadap isu sampah ini dan akan segera mencari solusi tuntas supaya negeri kita ini kekal bersih dan harmoni,” katanya.

Ketika ini hanya tujuh negeri yang menguat kuasa Akta 672 iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perlis, Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Pengarang :