EXCO Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (kiri, tiga) serta EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (hadapan, tengah) bergambar ketika menghadiri Persidangan Kita Selangor: Iltizam Rekabentuk Sejagat Ke Arah Negeri Inklusif di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya pada 7 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor pertingkat kemudahan awam mesra OKU, warga emas

SUBANG JAYA, 7 MAC: Kerajaan Selangor mengambil langkah awal membangunkan kemudahan awam mesra orang kurang upaya (OKU) susulan jangkaan peningkatan 15 peratus golongan itu daripada jumlah penduduk negara.

EXCO Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyediaan infrastruktur yang mudah dan selamat turut mengambil kira faktor pertambahan golongan berusia di sesebuah kawasan berikutan jangka hayat lebih lama.

“WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) jangka 15 peratus daripada rakyat kita nanti adalah OKU. Kita sendiri akan jadi individu kurang upaya kerana 20 peratus daripada rakyat hidup lebih lama sehingga 80 tahun berbanding 60 tahun.

“Jadi kita akan ada masalah ketercapaian. Sekiranya tidak bersiap sedia dari sekarang, kita terpaksa buat banyak ubah suai (infrastruktur) yang akan menelan kos tinggi pada masa depan.

“Kita mahu kesedaran (membangunkan kemudahan awam mesra OKU dan golongan berusia) bermula dari sekarang. Arkitek dan jurutera harus bersedia,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena Persidangan Kita Selangor: Iltizam Reka Bentuk Sejagat Ke Arah Negeri Inklusif di Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.

OKU antara kumpulan sasar yang turut diberi tumpuan dalam pelan pembangunan lima tahun negeri, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan meningkatkan kesejahteraan golongan terbabit.

Sehingga kini, hampir 90,000 OKU berdaftar di Selangor.


Pengarang :