EXCO Perumahan Rodziah Ismail (tiga, kanan) mendengar penerangan mengenai Lampu LED ketika majlis perasmian program teknologi hijau lampu LED Pangsapuri Seroja Taman Putra Perdana di Dewan Serbaguna Pangsapuri Seroja Taman Putra Perdana pada 19 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sasar 832 perumahan strata pasang lampu LED tahun ini

Oleh DIANA ABD WAHAB

SEPANG, 19 MAC: Kerajaan Negeri menyasarkan 832 perumahan berstrata memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) tahun ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata menerusi inisiatif Bangunan Hijau pihaknya menyasar 874,000 unit dipasang di semua perumahan berkenaan.

“Kita optimis ia mampu dicapai kerana setakat ini sebanyak 24 skim strata telah mulakan inisiatif dengan 45,000 unit lampu LED sudah dipasang.

“Setakat ini usahasama Kerajaan Negeri dengan kerjasama Synergy Group diterima baik oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

“Menerusi inisiatif ini perjanjian dibuat bersama JMB dan MC selama 10 tahun. Kita gembira kerana tawaran dibuat Synergy Group yang begitu komited untuk laksanakannya dengan sebaik mungkin.

“Mereka jamin segala kerosakan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun itu adalah di bawah tanggungan mereka,” katanya pada majlis perasmian program Teknologi Hijau Lampu LED Pangsapuri Seroja Taman Putra Perdana Puchong di sini hari ini.

Rodziah dalam sidang Dewan Negeri Selangor sebelum ini berkata kempen pemasangan LED, sistem solar dan perumahan air hujan (SPAH) di semua bangunan akan diperluas bagi memerangi perubahan iklim dalam industri hartanah.

Pada Julai tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara lain memberi fokus untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Kempen sepanjang lima tahun RS-1 melibatkan bangunan strata kediaman kerajaan pusat dan swasta, bangunan pejabat, hospital, sekolah, kolej, universiti, stadium, pasar, pusat membeli-belah serta kilang.


Pengarang :