Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sedia bantu mangsa belum terima bantuan banjir kerajaan pusat

PETALING JAYA, 12 MAC: Selangor akan berusaha membantu mangsa terjejas banjir di negeri ini pada akhir Disember 2021 yang belum menerima bantuan kerajaan pusat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan meminta pegawai berkaitan membawa perkara itu ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Yang berbangkit itu melibatkan tawaran kerajaan persekutuan iaitu pembaikan rumah, RM2,500 ganti (rugi) barangan elektrik dan sebagainya.

“Kita harap pegawai kita bantu terutama untuk menghubungkan dengan ICU,” katanya selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3 di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri sudah selesai mengagih Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000 kepada 132,000 keluarga terjejas di negeri ini.

Menurutnya, tiada isu berbangkit berhubung bantuan yang membabitkan perbelanjaan RM132 juta itu.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember dua tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :