SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri menyediakan direktori pelancongan industri melalui Tourism Selangor bagi mempromosi 150 produk bawah 10 kategori di sembilan daerah.
EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata kemudahan itu membantu pelancong mendapatkan maklumat tepat untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di serata Selangor.
“Kategori tersebut ialah perniagaan kecil dan sederhana(SMES), industri agrikultur, pembuatan, kreatif, pendidikan, galeri dan muzium, seni jalanan, spa dan makanan serta minuman,” katanya.

Menjawab soalan wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Loy Sian berkata direktori berkenaan boleh di muat turun di laman sesawang www.selangor.travel
Loy Sian memaklumkan pihaknya juga bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk pembangunan produk pelancongan dan melakukan promosi secara berterusan untuk pasaran domestik serta antarabangsa.
“Malah, Tourism Selangor juga menyediakan pakej pelancongan industri yang saling berkait dengan pakej-pakej sedia ada di pasaran,” katanya.