Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sedia hantar bot, perkakas menyelamat bantu mangsa bah Johor

KUALA LANGAT, 5 MAC: Kerajaan Selangor sedia menghantar bantuan bot dan peralatan menyelamat mangsa banjir di Johor sekiranya ada keperluan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya belum menerima permohonan daripada Kerajaan Johor bagi mendapatkan bantuan tersebut.

“Kita belum dihubungi kerana biasanya ia (peralatan menyelamat) diurus kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Insya-Allah, kita sedia untuk hantar bantuan tersebut pada bila-bila masa jika ada keperluan. Kita tidak mahu memandai-mandai hantar bantuan itu ke sana bagi mengelak keadaan jadi huru-hara,” katanya.

Bercakap selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Kuala Langat di Banting Waterfront di sini hari ini, Amirudin berkata Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa dua akan digerakkan membabitkan operasi pembersihan dan pemulihan kawasan.

“Yang Berhormat Khairuddin Othman (EXCO Pembangunan Modal Insan) akan menghubungi rakan kongsinya di Johor untuk kita menghantar pasukan pembersihan dan Pasukan Tindakan Segera (Pantas),” katanya.

Pasukan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang dianggotai 53 orang bergambar kenangan ketika menyertai misi berkenaan pada 4 Mac 2023. Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri

Semalam, Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang diketuai Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Muhammad Hanafi Ahmad menghantar pelbagai barangan keperluan asas di Johor.

Barangan keperluan seperti makanan, minuman, kit kebersihan, pakaian dan lampin pakai buang itu terus dihantar ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar bagi memudahkan urusan penghantaran untuk mangsa banjir.

Sebanyak 1,000 makanan dan 1,000 kit kebersihan diserahkan termasuk 418 bakul makanan, 200 kampit beras lima kilogram, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, selipar, pakaian dewasa dan kanak-kanak, air mineral serta pelbagai lagi.

Antara barangan keperluan asas dalam Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang untuk mangsa banjir di Johor yang dihantar di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar pada 4 Mac 2023. Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri

Pengarang :